Subscribe:

Thursday, 29 November 2012


BAHASA MALAYSIA TAHUN I

Mata Pelajaran : Bahasa Malaysia
Tahun : 1 Maju
Tema : Mari Bertani
Tajuk : Buah-buahan Tempatan
Masa : 3.00 – 3.30 petang (30 minit)
Standard Pembelajaran : 1.5.1,3.4.1


Objektif Pembelajaran
Pada akhir pembelajaran dan pengajaran murid dapat :
i. Bercerita tentang sesuatu perkara dengan tepat, sebutan yang jelas dan intonasi yang betul menggunakan ayat tunggal.
ii. Menulis imlak perkataan yang mengandungi suku kata terbuka dan suku kata tertutup dengan ejaan yang betul.

EMK : Nilai Murni – patuh, yakin
Keusahawanan – pemikiran usahawan

Pengisian Kurikulum : Ilmu – Sains, Matematik, Pendidikan Agama Islam dan Muzik

Sistem Bahasa : Kosa Kata – dusun, tempatan
Tatabahasa – ayat tunggal

Bahan Bantu Mengajar : Carta teka-teki, carta lagu, kad perkataan, kad gambar, benda maujud dan lembaran kerja

Kemahiran Bernilai Tambah (KBT) : Kemahiran Berfikir : Menjana idea
Kecerdasan Pelbagai – Konstektual, Pengajaran Masteri

Pengetahuan Sedia Ada : Murid telah mengetahui nama buah-buahan tempatan dan sebahagian murid berpengalaman ke dusun buah-buahan


Wednesday, 28 November 2012

Belimbing besi



Nama saintifik bagi belimbing besi ialah Averrhoa carambola. Ia tergolong dalam keluarga Oxalidaceae. Nama lain bagi belimbing besi ialah belimbing manis dan starfruit.

Belimbing besi akan berbuah sepanjang tahun dan boleh dituai sehingga enam kali dalam setahun. Ia boleh dibiakan dengan menggunakan kaedah pembiakan mata tunas dan kaedah pembiakan tut.

Buah ini perlu dipetik apabila terdapat perubahan warna daripada warna hijau gelap ke warna hijau kekuningan. Kebanyakkan buahnya mempunyai biji, namun ada juga yang tidak mempunyai biji bergantung kepada kultivarnya. Buah belimbing besi amat berjus serta mempunyai rasa masam dan manis.


Betik



Nama saintifik bagi betik ialah Carica papaya. Ia tergolong dalam keluarga Caricaceae. Ia juga dikenali sebagai papaw.

Betik merupakan tanaman jangka pendek dan sederhana. Buah betik berbentuk bujur dan saiznya agak panjang. Kulit buah betik yang telah masak akan berwarna kuning cerah hinggalah ke kuning pekat. Isinya kebiasaannya berwarna kuning oren hingga ke warna merah dan rasanya manis. Buah betik juga boleh dijadikan jem, jus minuman dan halwa.

Pucuk betik sering dicelur untuk dijadikan ulam dan dimakan bersama sambal belacan.


Ciku



Nama saintifik bagi ciku ialah Manilkara zapota. Ia tergolong dalam keluarga Sapotaceae. Di Kelantan, ciku dikenali sebagai sawo nila manakala di Kedah pula dipanggil sebagai sawa.

Pokok ciku akan berbuah sepanjang tahun. Buahnya berbentuk bujur dan pada kebiasaannya ia mengambil masa antara enam hingga lapan bulan dari tempoh berbunga untuk mencapai kematangan. Buah yang cukup masak manis rasanya dan mempunyai kulit yang berwarna perang. Teksturnya halus tetapi kadang-kadang agak kesat atau berpasir. Ia mempunyai satu hingga enam biji yang berwarna hitam, keras dan leper.

Buah ciku juga boleh dibuat jem, jus minuman, hirisan ciku kering dan kemudiannya ditinkan.

Tuesday, 27 November 2012

Durian



Nama saintifik bagi durian ialah Durio zibethinus. Ia tergolong dalam keluarga Bombacaceae. Digelar sebagai raja buah.

Buah durian bersaiz besar dan kulitnya tebal serta berduri. Warna kulitnya daripada hijau hingga perang dan warna isinya pula daripada kuning pucat hingga merah, bergantung kepada spesiesnya. Isi durian beraroma sangat kuat walaupun kulitnya belum dibuka.

Buah yang sangat popular dimakan segar. Ia juga boleh dimasak menjadi lempok, jem dan tempoyak.


Jambu batu



Nama saintifik bagi jambu batu ialah Psidium guajava. Ia tergolong dalam keluarga Myrtaceae.

Buah ini berbentuk bebola atau bujur telur. Kulitnya berwarna hijau muda, setelah masak warnanya masih sama atau sedikit kuning. Isinya keras tetapi apabila telah masak ia menjadi lembut. Rasanya manis atau masam. Bijinya pula bersaiz kecil.

Jambu batu juga boleh diproses menjadi jem dan kordial.


Kelapa



Nama saintifik bagi kelapa ialah Cocos nucifera. Ia tergolong dalam keluarga Arecaceae. Dikenali juga sebagai nyiur.

Pokok kelapa sangat tinggi iaitu boleh mencapai ketinggian 6 hingga 30 meter. Ia boleh tumbuh dalam pelbagai keadaan dan jenis tanah. Kelapa boleh berbunga 3 tahun selepas ditanam.

Air daripada buah kelapa boleh diminum dan isi kelapa yang lembut boleh dimakan mentah. Pokok kelapa mempunyai pelbagai kegunaan contohnya daun kelapa boleh dibuat pembalut makanan, lidi kelapa boleh dibuat penyapu dan sabut kelapa boleh dibuat tali. Kelapa tua biasanya diproses untuk dijadikan kelapa parut, santan dan minyak masak.


Monday, 26 November 2012

Manggis



Nama saintifik bagi manggis ialah Garcinia mangostana. Ia tergolong dalam keluarga Clusiaceae. Buah manggis dikenali sebagai ratu segala buah.

Pertumbuhan pokok ini adalah perlahan. Ia mula berbuah enam hingga dua belas tahun selepas ditanam.

Buah manggis berkulit tebal dan berwarna ungu pekat manakala isinya berwarna putih serta rasanya manis. Kulit manggis mempunyai getah yang sukar dihilangkan sekiranya terkena pada pakaian.


Nanas



Nama saintifik bagi nanas ialah Ananas comosus. Ia tergolong dalam keluarga Bromeliaceae. Ia juga dikenali sebagai pineapple dalam bahasa inggeris.

Nanas boleh tahan kepada keadaan kemarau. Daunnya panjang dan berbentuk lanceolet serta berduri di hujung. Terdapat jambul  di atas buah nanas yang terdiri daripada batang pendek dan daun. Buahnya boleh dituai antara 115 - 130 hari selepas berbunga. Isinya berwarna kekuningan apabila telah masak.

Nanas boleh dimakan begitu sahaja atau boleh juga diproses menjadi jus minuman, kordial dan jem,


Pisang



Nama saintifik bagi pisang ialah Musa paradisiaca. Ia tergolong dalam keluarga Musaceae.

Kelompok-kelompok buah pada tangkai atau tandan dipanggil sisir. Setiap sisir terdiri daripada sejumlah buah pisang disebut jejari. Pisang akan mula mengeluarkan hasil pada umur enam hingga lapan bulan selepas ditanam.

Pisang mas, berangan dan rastali ditanam untuk dimakan segar. Manakala pisang raja, nangka, tanduk, nipah dan awak pula sesuai untuk dimasak atau diproses sebagai makanan ringan seperti kerepek. Daun pisang biasanya digunakan sebagai alas makanan, pembalut kuih dan pembalut masakan seperti ikan bakar dan kuih lepat.


Sunday, 25 November 2012

Rambutan



Nama saintifik bagi rambutan ialah Nephelium lappaceum. Ia tergolong dalam keluarga Sapindaceae.

Pokok rambutan boleh ditanam menggunakan biji benih ataupun melalui kaedah cantuman. Ia boleh mengeluarkan hasil selewat-lewatnya tiga tahun selepas ditanam. Pada kebiasaannya, rambutan berbuah dua kali setahun.

Perubahan warna dari hijau kepada kuning atau merah merupakan petunjuk bahawa buah sudah sedia untuk dituai. Antara jenis-jenis rambutan ialah rambutan budak sekolah, rambutan gula batu dan rambutan kawin.


Tembikai



Nama saintifik bagi tembikai ialah Citrullus lanatus. Ia tergolong dalam keluarga Cucurbitaceae. Nama lain bagi tembikai ialah timun cina dan semangka.

Tembikai merupakan tanaman menjalar. Buahnya berbentuk bulat. Kulit buah ini keras dan licin. Isinya berwarna merah, berair dan manis. Namun ada juga spesies tembikai yang isinya berwarna kuning.

Buah tembikai mengandungi vitamin A yang berkesan mengubati masalah ginjal dan salur kencing. Buah ini tidak sesuai dituai pada musim hujan.